Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi
Maha Penyayang.
Semasa Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam dan Sayidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur, dalam perjalanan untuk berhijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka. Ketika Sayidina Abu Bakar cemas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menenangkannya dan berkata, "Jangan takut, ALLAH bersama kita.." Hebatnya Rasulullah, ALLAH sentiasa di hatinya..
Sewaktu Da'thur, seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam lalu meletakkan pedang ke leher baginda dan bertanya, "Siapakah akan menyelamatkan kamu daripadaku..?" Jawab Rasulullah penuh yakin, "ALLAH." Mendengar jawapan itu, gementarlah Da'thur dan terlepaslah pedang daripada tangannya. Maha Suci ALLAH. Sentiasa ada DIA di hati baginda.
Diceritakan juga bahawa pada suatu ketika Khalifah Umar Al Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di tengah sebuah padang pasir. "Boleh kau jualkan kepadaku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini..?" "Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja.." "Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini. Jika kau jualkan seekor kepadaku dan kau katakan kepada tuanmu bahawa kambing itu telah dimakan serigala, tuanmu tidak akan mengetahuinya," desak Sayidina Umar lagi, sengaja menguji. "Kalau begitu, di mana ALLAH?" ujar budak itu. Sayidina Umar terdiam dan kagum dengan keimanan yang tinggi di dalam hati anak kecil itu. Walaupun hanya seorang gembala kambing yakni pekerja bawahan tetapi dengan kejujuran dan keimanannya, dia punya kedudukan yang tinggi di sisi ALLAH. Jelas ada DIA di hatinya.
Suatu ketika seorang sufi diajukan satu soalan, "Apakah engkau takutkan ALLAH?" Dia menangis dan menjawab, "Aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak. Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang kufur. Sebaliknya jika aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikapku amat berbeza dengan kata-kata. Orang yang takutkan ALLAH bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat ALLAH tapi aku tidak.." Jika seorang sufi yang hatinya begitu hampir dengan ALLAH pun sukar bila ditanya apakah DIA di hatinya, lebih-lebih lagi lah kita yang hina dan berdosa ini.
Kalau kau tanyakan aku, "Adakah DIA di hatimu..?" Aku hanya mampu menjawab, "Aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hatiku.."
** Petikan daripada 'Di Mana DIA di Hatiku' karangan Pahrol Mohd Juoi
No comments:
Post a Comment